7 Ujian Kecintaan Kepada Allah

7 Ujian Kecintaan Kepada Allah

~TANDA KECINTAAN KEPADA ALLAH TAALA~

Ramai orang mengaku mencintai Allah Taala, Sayugialah setiap orang menilai dirinya sendiri tentang kemurnian cinta yang dimilikinya.

|UJIAN PERTAMA| Tidak benci dia kepada mati, kerana tidak ada seorang “teman” pun yang ketakutan ketika akan bertemu dengan “teman”nya. Nabi SAW bersabda: “Siapa yang ingin melihat Allah Taala, Allah Taala pun ingin melihatnya”. Memang benar bahawa seorang pencinta Allah Taala yang ikhlas mungkin sahaja takut akan kematian sebelum dia menyelesaikan persiapannya untuk ke akhirat, tetapi jika dia ikhlas, dia akan rajin menyediakan segala persiapan itu.

|UJIAN KEDUA| Ujian keikhlasan yang kedua ialah rela mengorbankan kehendaknya demi kehendak Allah Taala, berpegang erat kepada apa yang membawanya lebih dekat kepada Allah Taala dan menjauhkan diri daripada tempat-tempat yang menyebabkan dia berada jauh daripada Allah Taala.

Kenyataan bahawa seseorang yang telah berbuat dosa bukanlah tanda yang dia tidak mencintai Allah Taala sama sekali, tetapi hal itu membuktikan bahawa dia tidak mencintai-Nya sepenuh hati. Wali Fudhail (yakni Imam Fudhail bin Iyadh RA) berkata kepada seseorang: “Jika seseorang bertanya kepadamu, cintakah engkau kepada Allah Taala, maka diamlah; kerana jika engkau berkata: ‘Saya tidak mencintai-Nya’, maka engkau menjadi seorang kafir dan jika engkau berkata: ‘Ya, saya mencintai Allah Taala’, padahal perbuatan-perbuatanmu bertentangan dengan itu”.

|UJIAN KETIGA| Ujian ketiga adalah bahawa Zikrullah sentiasa segar dan berkekalan di dalam hatinya tanpa dipaksa-paksa kerana jika seseorang itu memang mencintai, maka dia akan terus mengingat-ingat; dan jika cintanya itu sempurna, maka dia tidak akan melupakan-Nya. Meskipun demikian, memang mungkin terjadi bahawa sementara kecintaan kepada Allah tidak menduduki tempat utama di hati seseorang, kecintaan akan kecintaan kepada Allah-lah yang berada di tempat itu, kerana cinta adalah sesuatu dan kecintaan akan cinta adalah sesuatu yang lain.

|UJIAN KEEMPAT| Ujian yang keempat adalah bahawa dia akan mencintai al-Quran yang merupakan firman Allah Taala dan Muhammad Nabi Allah. Jika cintanya benar-benar kuat, dia akan mencintai seluruh manusia, kerana semua mereka itu adalah hamba-hamba Allah Taala. Malah cintanya akan meliputi seluruh makhluk, kerana orang yang mencintai seseorang akan mencintai karya-karya cipta dan tulisan tangannya.

|UJIAN KELIMA| Ujian kelima adalah sikapnya yang tamak terhadap uzlah untuk tujuan ibadah. Dia mendambakan datangnya malam supaya dapat berhubungan dengan temannya tanpa halangan. Jika dia lebih menyukai bercakap-cakap pada siang hari dan tidur pada malam hari daripada beruzlah, maka cintanya itu tidak sempurna. Allah Taala berkata kepada Nabi Daud: “Jangan terlalu dekat dengan manusia, kerana ada dua jenis orang yang menghalangi kehadiran-Ku: (1) Orang yang bernafsu untuk mencari keuntungan dan kemudian semangatnya mengendur ketika telah mendapatkannya dan (2) Orang-orang yang lebih menyukai fikiran-fikirannya sendiri daripada mengingati-Ku. Tanda-tanda Aku tidak bersamanya adalah bahawa Aku meninggalkannya bersendirian”.

Sebenarnya, jika kecintaan kepada Allah Taala sungguh telah menguasai hati manusia, maka segala cinta kepada yang lain akan hilang. Salah seorang daripada Bani Israel mempunyai kebiasaan untuk sembahyang pada malam hari. Tetapi ketika dia tahu ada seekor burung yang boleh menyanyi dengan sangat merdu di atas sebatang pohon lalu dia pun mulai bersembahyang di bawah pohon itu supaya dapat menikmati kemerduan nyanyian burung itu. Allah Taala memerintahkan Nabi Daud menemuinya dan berkata kepadanya: “Engkau telah mencampurkan kecintaan kepada seekor burung yang merdu dengan kecintaan kepada-Ku; maka tahapanmu dalam kalangan para wali pun rendah”. Di sisi lain, terdapat beberapa orang yang mencintai Allah Taala dengan kecintaan yang begitu hebat, sehingga ketika mereka beribadah, rumah-rumah mereka yang telah terbakar dan mereka tidak menyedarinya.

|UJIAN KEENAM| Adalah ibadah itu menjadi mudah baginya. Seorang wali berkata: “Selama tiga puluh tahun pertama saya menjalankan ibadah malamku dengan susah payah, tetapi tiga puluh tahun kemudian perkara itu telah menjadi suatu kesenangan bagiku”. Jika kecintaan kepada Allah Taala sudah sempurna, maka tidak ada kebahagiaan yang dapat menandingi kebahagiaan dalam beribadah.

|UJIAN KETUJUH| Bahawa pencinta Allah Taala akan mencintai orang-orang yang mentaati-Nya dan membenci orang-orang kafir dan orang-orang yang tidak taat. Firman Allah Taala: “Mereka bersikap keras terhadap orang kafir dan berkasih sayang dengan sesamanya”. Nabi SAW pernah bertanya kepada Allah Taala: “Ya Allah, siapakah pencinta-pencinta-Mu?”. Lalu dijawab: “Orang-orang yang berpegang erat kepada-Ku sebagaimana seorang anak kepada ibunya, yang berlindung dalam ingatannya kepada-Ku sebagaimana seekor burung mencari naungan pada sarangnya dan akan sangat marah jika melihat perbuatan dosa seperti seekor harimau marah yang tidak takut kepada apa pun”.

Wallahu A’lam.

[Al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad al-Ghazali al-Tusi al-Syafie RA; Terjemahan Kimia al-Sa’adah]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Open chat