FAIZ SAAID

BLOG ORANG SELANGOR

Ancaman LIKES Medsos Agamawan

Ancaman LIKES Medsos Agamawan

ANCAMAN MENCARI ‘LIKES’ DI MEDSOS TERHADAP NIAT AGAMAWAN

1. Saya ingin menulis tazkirah untuk diri sendiri, dan saya ingin kongsikan coretan untuk diri ini agar dapat dibaca juga oleh orang lain. Sesungguhnya, antara fitnah terhadap keikhlasan amalan pada setiap zaman ialah kehendak kepada pujian manusia yang mengatasi redha ALLAH S.W.T. Fitnah itu menjadi lebih besar pada saat ini apabila manusia dapat ‘menikmati’ pujian dan sokongan itu melalui media social (medsos) yang wujud di era ini. Kegilaan mendapat ‘likes’, ‘followers’ dan sokongan ‘netizen’ telah menjahanamkan niat dan prinsip ramai manusia. Niat dan tindakan banyak manusia hari ini banyak ditentukan oleh kecenderungan yang zahir dalam media social masing-masing. Hal ini telah merosakkan keikhlasan ramai orang, termasuklah tokoh-tokoh agama, dan jarang pula yang terlepas dari fitnah ini.

2. Kehendak manusia atau netizen dalam konteks medsos pula berbeza dan berubah berdasarkan pelbagai faktor. Dalam politik, jika seseorang tokoh agama menyokong tindakan atau pendapat pihak tertentu, maka mereka dari pihak yang berbeza akan membantah dan mengutuk pendirian itu. Jika sebaliknya, maka kumpulan yang sebaliknya pula akan bertindak yang sama. Jika seseorang tokoh agama pernah menyokong beberapa pendirian pihak tertentu, kemudian dia tidak menyokong lagi atas hujah tertentu, mereka akan menyatakan dia tidak tetap pendirian. Semasa pendapat dia seiras dengan mereka, dia akan dinobatkan tokoh agama terbilang yang pendapatnya wajar diikuti. Apabila dia berbeda dengan mereka, dia dianggap penjual agama. Paksi mereka adalah sokongan netizen yang pro parti mereka. Sedangkan agama itu rentas parti dan kumpulan. Tidak terikat dengan lambang tetapi terikat dengan alasan dan hujah.

3. Antara golongan yang mendapat banyak followers dan likes, ialah para artis yang terkenal. Ini adalah fenomena global. Mereka bagaikan ‘tuhan-tuhan’ yang dipuja di medsos oleh pentaksub mereka. Apatahlagi, jika artis-artis itu cantik, hensem dan berbakat, maka pasti banyak followers dan mendapat banyak likes bagi setiap post aktiviti mereka. Golongan agamawan jika terpengaruh dengan dunia selebriti yang mencari ‘likes’ dan ‘followers’ di medsos, pasti teruja apabila dapat bermajlis bersama artis ternama. Segala keutamaan diberikan jika membabitkan artis-artis masyhur. Tokoh agama yang sibuk akan ada masa jika membabitkan artis, yang sakit akan sihat jika menghadiri majlis artis, yang tidak boleh akan jadi boleh jika pemintaan artis. Alasan klise (cliché) “nak dakwah”, walaupun kelihatan golongan agama itulah diwarnakan oleh artis-artis tersebut, bukan sebaliknya. Maka jadilah diari hidup golongan ilmuwan agama itu seperti artis yang tertumpu kepada menghiburkan peminat dengan mendapatkan ‘likes’, bukan menegakkan prinsip, menyanggahi yang salah dan berkata benar walaupun pahit. Niat terpendam berbisik “kalau aku bersama artis ni, berapa likes aku dapat?”

4. Nitizen pula mempunyai pelbagai latar. Ada yang berilmu, ada yang dangkal, ada yang mentah, ada pula yang berpengalaman. Demikian juga, isu-isu yang viral di medsos, ada yang berasas, ada yang sentimen, ada yang kelihatan agama tapi bukan ajaran agama dan ada yang sebaliknya. Aliran pro dan kontra di medsos juga berubah mengikut waktu dan musim. Sikap terhadap sesuatu isu sering mengikut tempat dan budaya. Ia sentiasa berubah dan berbeza, kemudian akan dilupakan. Selepas itu muncul isu pula yang baru. Sedangkan agama berdiri atas fakta, hujah dan prinsip yang telah dinaskan. Usul-usul agama itu kekal sekalipun manusia berubah atau enggan bersetuju. Jika seseorang ingin mencari redha trending di medsos, sehingga akhir hayat dia akan keletihan. Cumanya, dia tenggelam dalam kelazatan ‘likes’. Jika mencari penyelarasan dengan prinsip agama ALLAH, itu jauh lebih jelas tapi kena sabar dan cekal. Namun, bagi yang ikhlas, dia akan tenggelam dalam kelazatan mencari redha dan pahala Tuhan.

5. Saya ingin mengingatkan diri saya dan mereka yang terbabit dalam membawa ilmu agama ALLAH ini. Tugasan kita bukanlah penghibur di medsos atau mencari likes dan followers. Itu semua hanyalah wasilah atau jalan, bukan tugas kita yang hakiki. Tugasan pembawa ilmu yang sebenar adalah seperti yang baginda Nabi s.a.w sebut:
يحمل هذا العلمَ مِن كل خَلَف عدولُه: ينفون عنه تحريف الغالين، وانتحال المبطلين، وتأويل الجاهلين
Sentiasa membawa ilmu ini mereka yang adil (amanah) dari para penyambung (dari setiap generasi); mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwilan golongan yang jahil. (Riwayat al-Bazzar, al-Baihaqi, al-‘Uqaili dll. Hadis bertaraf hasan).

Kata al-Bulqini hadis ini bermaksud perintah iaitu “Hendaklah membawa ilmu ini golongan yang adil (amanah)….(lihat: al-Bulqini, Mahasin al-Istilah, m.s. 121, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyat, 1999)

6. Ertinya, pembawa ilmu hendaklah amanah dan bagi mereka tiga tugasan hakiki yang mesti dilaksanakan. Tugasan itu, pertamanya; menentang pelampau dalam beragama. Kedua, menentang golongan yang berbohong atas nama agama. Ketiga, menentang golongan jahil yang membuat tafsiran yang salah tentang agama.

Inilah tugasan ilmuwan Islam bagi memastikan ketulenan agama terpelihara. Tiga tugasan ini sering dilupai oleh golongan agamawan apabila tenggelam dalam kehendak ‘likes’ di medsos.

7. Tidak salah mencari pendekatan yang lebih berhikmah seperti mendekati golongan politik, atau artis atau sesiapa sahaja. Demikian tidak salah suka kepada ‘likes’ jika itu sebagai tanda uslub dakwah berkesan. Hikmah atau pendekatan berkesan disuruh oleh al-Quran. Tujuan hikmah dalam dakwah agar mesej al-Quran dan al-Sunnah sampai kepada manusia. Tidak sekadar supaya manusia menyukai kita tanpa menyukai isi sebenar ajaran ALLAH dan RasulNYA. Akhirnya yang manusia terima dan suka hanyalah diri kita, tetapi tidak isi kandungan dakwah yang kita bawa. Jadilah kita seperti artis yang dipuja kerana rupa atau suara, atau lakonannya, tanpa perlu memahami falsafah yang dipegang dalam hidupnya.

8. Sebenarnya, mencari redha manusia, apatahlagi nitizen pada zaman ini sesuatu yang sia-sia dan akan meletihkan kita. Kerenah dan kehendak manusia itu banyak dan pelbagai. Orang politik dengan kerenahnya, artis dengan caranya dan netizen awam pula berjuta latar. Siang malam jika hanya memikir kehendak manusia, hidup berakhir dengan sia-sia. Sabda Nabi s.a.w :
مَنِ التَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ، وَمَنِ التَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ
“Sesiapa yang mencari redha ALLAH (sekalipun) dengan kemarahan manusia, maka ALLAH memeliharanya dari kebergantungan kepada manusia. Sesiapa yang mencari redha manusia (sekalipun) dengan kemurkaan ALLAH, maka ALLAH menyerahkannya kepada manusia” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Hibban, al-Baihaqi dll. Hadis dinilai sahih).

9. Baca kisah ulama-ulama terbilang yang berpendirian lagi ikhlas, mereka dimarahi semasa hayat mereka, namun akhirnya dipuji sepanjang zaman. Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayatnya dituduh menganut ajaran Muktaziah dan sesat, bahkan dikafirkan. Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran itu makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur’ah. Tuduhan ini datang dari gurunya sendiri Muhammad bin Yahya al-Zuhli. Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan. Malangnya, tokoh ilmuan yang tidak puas hati kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi”. Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara. Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “aku tidak peduli selagi agamaku selamat”.

Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah dalam kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah. Selepas beberapa waktu, akhirnya mereka bersetuju menerima kedatangan beliau. Namun, ketika al-Bukhari menaiki kenderaannya itu untuk menuju ke sana, beliau meninggal sebelum sempat ke Samarkand. Demikian kisah sedih yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr).
Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang. Hari ini apabila orang membaca hadis, nama beliau disebut dan kekukuhan riwayat beliau dalam ‘Sahih al-Bukhari’ diakui oleh sekelian sarjana. Akidah al-Bukhari diakui sebagai akidah yang sahih dan benar, ilmunya diiktiraf dan jasanya dikenang. Namun siapa yang membaca sejarah perit perjuangan ilmu, tidaklah sangka demikian nasib yang menimpanya.

10. Kadang kala kita dapat ada tokoh-tokoh agama cuba mengambil hati semua pihak sehingga tenggelam prinsip dan kebenaran yang dipegang. Mereka sedaya mungkin cuba mengumpul senyuman semua orang; sama ada politik, artis dan segala aliran manusia yang ada. Juga cuba mempamerkan apa yang disukai oleh netizen dari segala latar dan cara fikir. Sangkaan mereka, dengan demikian semua pihak akan beri ‘likes’ yang banyak. Pun begitu, walaupun berhasil seketika, ternyata ‘likes’ itu tidak dapat dikumpulkan secara berterusan. Peristiwa-peristiwa kehidupan tetap akan menzahirkan kebencian manusia dalam perkara-perkara yang disangka dan tidak disangka. Sedangkan artis yang kerjanya mendendangkan lagu, lagi dimarahi peminat. Lebih mulia dari segala, Nabi Muhammad s.a.w yang penuh kesempurnaan pun, tetap dibenci musuh dan teman-teman yang nifaq atau terpengaruh dengan bicara nifaq. Saidina Umar al-Khattab yang adil pun ditikam oleh seorang rakyatnya ketika solat. Mana mungkin seseorang tokoh agama ingin mengambil hati semua manusia. Jika semua manusia tersenyum, tetap orang-orang soleh tertanya ‘mengapa begitu ganjil jadinya?’. Saya tertarik dengan ungkapan puisi Gus Mus: “Tuhan! Lihatlah betapa baiknya kaum beragama di negeri ini…demi memperoleh rahmat Mu mereka memaafkan kesalahan dan mendiamkan kemungkaran bahkan mendukung kezaliman, untuk membuktikan keluhuran budi mereka, terhadap setanpun mereka tak pernah berburuk sangka”.

11. Inilah tazkirah untuk diri sendiri. Semoga saya sentiasa bertanya, tindakan yang diambil, dan pandangan yang dilontarkan dalam medan penyebaran ilmu ini, untuk siapa? Mencari ‘likes netizen’ atau redha ALLAH S.W.T Tuhan Pemberi Pahala dan Penentu Syurga dan Neraka. Ya ALLAH! Betulkanlah niatku semata untukMU.

Dr MAZA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Open chat