Atomy Halal atau Haram ?

Atomy Halal atau Haram ?

ATOMY & KRISTIANISASI
Pandangan peribadi saya mengenai isu Atomy yg bermain di kalangan ummah. Tulisan ini panjang, sila buka minda anda.
Saya bukanlah orang yg sempurna ilmu agamanya, ilmu yg ada sangatlah cetek. Hanya ada Sijil Am Agama dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor melalui Sekolah Agama Kerajaan Johor selepas menamatkan Darjah Khas pada tahun 2004.

Saya juga bukanlah sesiapa dalam Atomy, hanya seorang ahli yg berstatus Agent, yg masih lagi belajar dan berkongsi tentang Atomy kepada kenalan dan rakan-rakan kerana berpuas hati dengan produk dan pelan pemasaran yg ditawarkan.

Hemat saya begini terhadap isu Atomy yg dikatakan menyumbang kepada Kristianisasi:
Atomy mengambil 30% daripada keuntungan dan memulangkan 70% keuntungan kepada pengguna yg layak. Apa yg mereka buat dengan duit mereka, saya tak mahu ambil pusing sebab itu duit mereka. Kecuali jika dengan terang mereka mengatakan duit akan digunakan untuk memerangi Islam. Haram hukumnya berjual beli dengan kafir harbi, kafir yg memerangi Islam.
Dari sudut hukum, masih banyak percanggahan pendapat. Hukum asalnya ialah harus, tapi disebabkan isu yg dimainkan, banyak suara-suara yg menegur yg mengatakan ianya haram. Pendirian saya jelas, selagi belum ada fatwa yg mengatakan ianya haram, bisnes berjalan seperti biasa.

Kita tengok pula dari sudut pandang lain. Korea yg merupakan sebuah negara maju mengalami masalah berkaitan pegangan hidup rakyatnya. Mengikut statistik, Korea menduduki tangga ke-10 tertinggi dalam angka kes bunuh diri yg mengikut kajian, ianya ada kena mengena dengan fakta yg hampir 60% rakyatnya yg berjumlah hampir 55 juta tiada pegangan agama atau kata lain, Atheist.
Saya tak hairan bila mana mereka menyalurkan pendapatan mereka kepada badan yg menyebarkan dakwah Kristian sebab pada mereka, rakyat mereka memerlukan pegangan agama. Ini logik kerana kerajaan Korea mempunyai pegangan dalam Atomy melalui KAERI (Korea Atomic Enegy Research Institute) dan agama terbesar di Korea ialah Kristian diikuti Budha manakala Islam hanya mempunyai 200,000 penganut.

Park Han Gil, pengasas dan CEO Atomy ialah seorang Kristian yg satu masa dulu bertarung nyawa apabila disahkan menghidap barah tahap 4. Beliau kini sihat dan pulih daripada barah tersebut selepas menggunakan Hemohim, sejenis ramuan herba yg kini dipatenkan di beberapa buah negara, hasil penyelidikan 8 tahun oleh KAERI dan hanya dijual di Atomy.
Secara logiknya, seseorang yg percaya kepada ketuhanan akan berterima kasih dan bersyukur kepada tuhan setelah diselamatkan dari ambang maut. Inilah yg dialami Park Han Gil dan beliau berpendapat, ajaran agama harus diperluaskan dan dalam konteks ini, Kristian.

Cuba kita fikir, kalau 30% keuntungan Atomy disalurkan kepada Kristian, ada lagi 70% yg dipulangkan kepada pengguna. Setakat status ini ditulis, ada 27 juta pengguna Atomy berdaftar seluruh dunia. Negara majoriti Islam yg dah Atomy tembusi hanyalah Malaysia, Indonesia dan akan datang Turkey.

Ok mari kita main statistik. Malaysia berpenduduk 33 juta, orang Islam ada 61.3%. Indonesia ada 273.6 juta penduduk, 87% darinya ialah muslim. Di Turkey pula 97% dari keseluruhan 84.3 juta penduduk ialah muslim. Nampak tak kat sini? Anda rasa semudah itu ke mereka nak mengkristiankan orang Islam? Dan setakat hari ini, berapa ramai umat Islam yg dah di Kristiankan?
Mereka tak kenal pun Islam. Jadi tak boleh ke kita gunakan platform ni untuk menyampaikan Islam kepada mereka? Pada hemat saya, kita jangan takutkan kepada agenda Kristianisasi sebaliknya kita tingkatkan agenda Islamisasi. Sebab satu-satunya agama yg diredhai tuhan sekalian alam ialah Islam. Ini jelas dalam ayat-ayat yg diturunkan melalui Al-Quran dan kekasihnya para Rasul.
Segala tindakan kita menurut Islam adalah berlandaskan niat. Niat saya menceburkan diri dalam Atomy ialah untuk mengubah cara hidup kepada hidup yg lebih berkualiti, melalui penggunaan produk harian yg berkualiti, di samping menjana pendapatan yg halal dalam masa sama menolong ramai lagi orang yg terkesan.
“tapi niat tak menghalalkan cara Boy.”

Cara apa yg tak halal tu? Saya tak mencuri, saya tak menipu, saya tak menyebarkan dakwah Kristianisasi. Sehingga hari ini, hukum berbisnes dalam Atomy masih lagi harus, bukan haram.
Saya tersentap bila ada cerita beberapa tahun lepas, ada orang Islam yg dalam keadaan terdesak meminta sumbangan dari badan organisasi Islam namun terpaksa melalui pelbagai saluran yg menyusahkan. Dia kemudiannya pergi ke gereja, terus dapat sumbangan. Kat sini kita boleh nampak, sebenarnya apa kesilapan kita umat Islam? Jangan tuding jari pada agama lain, sebaliknya perkuatkan agama kita.

Saya gembira bila ramai ahli agama bergabung di dalam Atomy. Perjuangan yg dipelopori Dr Tengku Asmadi ini kalau kita lihat dengan kaca mata Islam, banyak peluang selain memperkukuhkan ekonomi umat Islam. Jihad masa kini bukan lagi dengan pedang, tapi jihad ekonomi. Lebih ramai Islam didalam sistem global ini, lebih kuat kita boleh jadi. Bayangkan kalau kita boleh dakwah Park Han Gil, mungkin Dreamy Foundation yg selama ni menyalurkan duit kepada Kristian boleh disalurkan kepada umat Islam. Kita kena pandang jauh. Sistem yg ada kita boleh gunakan untuk membawa agenda kita. Jangan sibukkan agenda orang, kerana kita juga sepatutnya ada agenda.

Harapan saya, usahlah kita umat Islam berselisih pendapat hingga bergaduh. Raikan pendapat seperti mana 4 mazhab yg mempunyai pelbagai pendapat berbeza namun masih utuh di jalan Allah menurut al-Quran dan hadith. Atomy kini sedar akan keperluan umat Islam dalam organisasi ini, malah mereka turut mendapatkan pensijilan halal bagi produk mereka dan InshaAllah akan ada panel syariah bagi Atomy di masa depan.

Coretan dan pandangan dari saya,
Wan Dzafarul Ariff bin Kamarulzaman
Isnin
4 Jan 2021
20 Jamadilawal 1442H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Open chat