Atomy Jelas Menyokong Perkembangan Kristian ?

Atomy Jelas Menyokong Perkembangan Kristian ?

“Buat Duit dengan Atomy”

Kini heboh Atomy menjadi salah satu peluang bisnes pada masa kini. Namun status tentang Atomy menjadi satu persoalan di kalangan masyarakat terutama di media sosial. Ulasan saya seperti berikut:

1. Atomy ialah syarikat MLM yang berasal daripada Korea Selatan dan berkembang di Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Taiwan, Singapura, Kemboja, Filipina, Malaysia, Thailand, Mexico, Australia, Indonesia, Rusia, China, Colombia, Hong Kong dan India.

2. Atomy mempunyai ahli seramai 10 juta orang dan mencatat hasil jualan sebanyak USD1.3 bilion pada tahun 2019. Atomy menjual produk penjagaan kesihatan, kecantikan, penjagaan diri, peralatan pembersihan rumah, makanan dan sebagainya.

3. Website Global Atomy menyebut Atomy menjadikan prinsip Kristian sebagai amalan dan budaya syarikat. Perkara ini banyak dinyatakan di dalam website yang mempromosikan Atomy. Pengerusi Atomy menyebut seperti berikut:

“Atomy adalah syarikat Kristian yang menghargai semangat membuat kebajikan sebagai nilai asasnya sambil mengikuti prinsip Perniagaan adalah Misi.”

4. Website Global Atomy menyatakan Atomy melakukan kerja amal dengan menubuhkan “Dreamy Foundation” iaitu sebuah yayasan kebajikan yang melakukan kerja-kerja kebajikan untuk mempromosikan ajaran Kristian dan kegiatan mubaligh Kristian.

5. Dreamy Foundation juga mengadakan kelas-kelas pengajian berkaitan agama Kristian seperti kelas Bible, kem Bible untuk pelajar sekolah rendah dan ceramah yang berkaitan dengan topik iman dan pekerjaan.

6. Website Global Atomy menyebut Pengerusi Atomy berusaha menyebarkan ajaran Kristian dan membantu mereka yang memerlukan melalui Dreamy Foundation. Beliau menyebut seperti berikut:

“Sebagai seseorang yang selalu dipanggil untuk bekerja keras, waktunya tepat atau tidak, saya tidak dapat menahan diri melainkan terus bercakap tentang Bible dengan semua orang yang saya temui sejak penubuhan syarikat itu.”

7. Website Global Atomy menyebut Atomy menubuhkan “Dreamy School” yang dibina atas prinsip Kristian. Pengerusi Atomy menyatakan hasrat untuk membina 100 buah sekolah seperti ini di seluruh dunia. Kini sebuah sekolah Dreamy School ditubuhkan di Cheonan City, Korea Selatan.

8. Atomy tidak berselindung dengan menyatakan syarikat mereka mengambil perasan besar dalam mempromosi dan menyebarkan ajaran Kristian. Dengan kata lain, bantuan mereka kepada perkembangan ajaran Kristian dianggap sebagai objektif besar dalam syarikat.

9. Perkara ini berbeza dengan syarikat-syarikat besar lain yang menjadikan urusan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersifat lebih umum tanpa mengkhususkan kepada agama tertentu. Kemudian syarikat-syarikat ini menyalurkan sumbangan kepada pelbagai pihak termasuklah kepada institusi Kristian.

10. Atomy Malaysia dikatakan tidak berkait dengan objektif Atomy di peringkat global. Namun apabila ahli Atomy Malaysia mempromosikan Atomy maka secara langsung mereka mempromosikan nama Atomy. Hasil jualan Atomy di Malaysia juga memberi kesan kepada hasil jualan Atomy di peringkat global. Perkara ini tidak boleh dinafikan sama sekali.

11. Kesimpulannya, Atomy dengan jelas menyatakan peranan mereka terhadap perkembangan ajaran Kristian melalui bantuan kebajikan, pendidikan dan sebagainya. Ini adalah satu fakta sudah terang lagi bersuluh.

Nasihat saya ialah umat Islam sepatutnya tidak terlibat dengan syarikat begini. Banyak lagi syarikat lain yang menawarkan peluang perniagaan yang sama.

Wallahu A’lam.

Dr. Abdél Rahmanov
24 Nov 2020

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Open chat