FAIZ SAAID

Blog Orang Selangor

Damaikan Orang Berseteru

Damaikan Orang Berseteru

*DAMAIKANLAH ORANG YANG BERSETERU*

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَصۡلِحُوا۟ ذَاتَ بَیۡنِكُمۡۖ

“…Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu…”
[Surah al-Anfal 1]

Di antara perkara yang sangat penting, Allah SWT memerintahkan umat Islam agar bertaqwa kepadaNya. Ini bermakna kita kena tahu tentang Allah, tahu tentang perintah dan laranganNya, takut akan Allah dengan tidak menderhakaiNya serta menjaga hukum-hakam Allah dalam segenap sudut kehidupan. Inilah ketaqwaan yang sebenar-benarnya yang perlu ada dalam diri kita semua.

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
[Surah Aali Imran 102]

Dan Allah menjanjikan ganjaran yang teristimewa kepada orang yang bertaqwa:

وَلَأَجۡرُ ٱلۡـَٔاخِرَةِ خَیۡرࣱ لِّلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَكَانُوا۟ یَتَّقُونَ

“Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.”
[Surah Yusuf 57]

Kemudian Allah SWT memerintah kita agar sentiasa memperbaiki hubungan antara sesama manusia. Hendaklah melakukan islah iaitu melakukan pembaikan, jangan berdengki dan iri hati, jangan benci sesama sendiri, jangan berbantah, bertengkar dan bertelagah. Sentiasa perbaiki hubungan sesama insan. Jangan bertelagah tentang hal yang remeh dan kecil. Jangan kerana harta, pangkat, kedudukan dan takhta menyebabkan hidup dalam keadaan bermasam muka dan berselisih. Damaikan dan harmonikan hubungan.

Rasulullah SAW bersabda:

ألا أُخبِرُكم بأفضلَ من درجةِ الصيامِ والصلاةِ والصدقةِ ؟ قالوا : بلى . قال : صلاحُ ذاتِ البَيْنِ

“Mahukah kalian aku khabarkan amalan yang menyamai darjat puasa, solat dan sedekah?”. Para sahabat menjawab: “Tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: “Mendamaikan orang-orang yang berseteru (bermusuhan)…”
(HR at-Tirmizi)

Jadilah insan bertaqwa serta sentiasa berusaha untuk mendamaikan orang yang berseteru. Moga rahmat Allah sentiasa bersama kita. Aamiiin.

📿Jom perbanyakkan beristighfar dan berselawat..

اَللهُمَّ صَلِّ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

اَسْتَغْفِرُ اَللّهَ الْعَظِیْمَ

Leave a Reply

Open chat