Faraid Tidak Salah

Faraid Tidak Salah

FARAID TIDAK SALAH !

Ketika saya bermula 22 tahun lepas, industri perancangan harta ini hampir tidak wujud. Tiada sesiapapun yang bercerita tentang faraid, hibah atau wasiat kecuali beberapa orang ustaz, ahli akademik dan pegawai2 syarikat amanah. Jenuh juga lari seluruh Malaysia mendidik umat Islam tentang fiqh mawarith ni ketika itu.

Namun hari ini Alhamdulillah semakin ramai individu/syarikat yang mulai mengambil peranan aktif memberi masyarakat kefahaman mengenai perkara-perkara ini. Masyarakat juga mulai sedar dan faham.

Tetapi saya perhatikan bahawa perkembangan industri ini juga membawa satu trend yang agak membimbangkan. Berlegar di media sosial ayat seperti “Faraid tidak adil”, “Baik kita elakkan harta kita dari difaraidkan.” dan macam-macam ayat kurang enak yang lain. Ayat2 bersifat provokasi ini memberi kesan kepada mentaliti masyarakat.

Sebagai antara orang tua dalam industri, saya masih ingat guru2 saya ( lebih dari 5 orang ) mengajar saya tentang fiqh mawarith bermula dari faraid. Masa itu tiada seminar, tiada modul latihan, tiada zoom training. Semuanya kena belajar bertalaqqi depan guru. Kita perlu kejar masa guru2 kita untuk dapat kesempatan ini.

Sebenarnya sebelum kita bercerita tentang hibah, wasiat atau perkara lain, faraidlah yang perlu dihadam terlebih dahulu. Hari ini agak membimbangkan bila melihat ramai yang ‘ikut-ikutan’ belajar ilmu ini secara ‘snapshot’. Terus terjun ke dalam masyarakat bercerita tentang hibah, wasiat dan instrumen lain tanpa memegang disiplin faraid.

Faraid itu kaedah agihan harta pusaka terbaik yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita. Ia bukan sahaja matematik kiraan tetapi disulami dengan hikmah yang amat besar jika difahami sepenuhnya.

Cabarannya kepada umat Islam hari ini ialah kerana kita melihat faraid itu hanya sekadar matematik sahaja. Pada kita ia semata-mata agihan hak. Hak yang mesti kita tuntut. Kita gagal melihat hikmah kenapa agihan itu diturunkan sedemikian rupa.

Datuk / bapa saudara / pihak lain yang menerima harta pusaka gagal memahami mereka ada tanggungjawab sebagai wali kepada anak saudara mereka yang perlu melindungi keselamatan, menjaga kebajikan dan kesihatan, membantu pendidikan mereka.

Anak lelaki yang menerima lebih bahagian harta pusaka berbanding anak perempuan gagal melihat tanggungjawab mereka sebagai pemimpin dalam keluarga dan gagal menghadam hakikat bahawa merekalah yang bertanggungjawab ke atas ibu mereka apabila ayah meninggal dunia.

Faraid itu diturunkan Allah sedemikian rupa kerana Allah sahajalah yang tahu mana waris yang lebih bermanfaat kepada kita ( Ayat 11 Surah An-Nisa’). Faraid ialah ilmu bersifat ‘tribal’ yang mana fungsinya adalah untuk memelihara kemaslahatan keseluruhan institusi keluarga. Namun hari ini masyarakat sudah bersifat ‘individualistik’. Sikap aku mesti dapat lebih sebab itu hak aku, menebal dalam masyarakat atas sebab tekanan ekonomi dan sosial.

Faraid hanya dipandang dari sudut kacamata hak dan bahagian. Ia tidak dilihat dari kacamata hikmah dan tanggungawab.
Inilah punca segala masalah harta pusaka hari ini. Kefahaman faraid perlu ditekankan kepada keseluruhan masyarakat.

Ada ramai daie2 faraid muda yang bergerak aktif dalam masyarakat hari ini. Ambillah masa belajar dengan mereka. Mereka memang bagus dan sumbangan mereka sangat signifikan. Atau boleh juga menyertai Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai daei. Salah satu modul asas yang kami tekankan sebelum bergerak ke modul lain ialah faraid.

Faraid itu tidak salah. Masalah harta pusaka hari ini muncul kerana masyarakat yang tidak faham tentang faraid. Oleh itu menjadi kewajiban kepada kita yang tahu serba sedikit ini untuk menyebarkan ilmu ini kepada masyarakat.

kredit : ABS Daie Mawarith Sepanjang Hayat ( DMSH )

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Open chat