FAIZ SAAID

Blog Orang Selangor

Graduan Kena Mula Jadi Usahawan

Graduan Kena Mula Jadi Usahawan

GRADUAN MASIH MENARUH HARAPAN UNTUK MAKAN GAJI ?

Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan Mei melaporkan terdapat 826,100 penganggur di Malaysia. Ini termasuk kalangan mereka yang telah diberhentikan kerja akibat wabak Covid 19. Angka ini bersamaan dengan 5.3%, adalah angka tertinggi sejak kemelesetan ekonomi pada tahun 1998. Itu pun angka pengangguran yang direkodkan. Tentulah masih ada ramai lagi penganggur yang tidak direkodkan.

Pada masa yang sama, pada akhir tahun ini akan bergraduan pula seramai 330,000 mahasiswa dari universiti pelbagai peringkat pengajian. Jika menggunakan angka asas kebolehpasaran graduan sejak beberapa tahun lepas kadar kebolehkerjaan dengan gaji setara ijazah, hanya sekitar 25% sahaja graduan ini akan dapat bekerja.

Angka 25% ini tidak termasuk graduan yang akan membuat keputusan untuk sambung belajar atau akan mengikuti kursus kemahiran (program latih semula). Juga bukan kalangan graduan yang dibayar upah harian atau mendapat gaji di bawah kelayakan ijazah. 25% ini adalah graduan yang benar benar bekerja (tetap atau kontrak) dengan kadar gaji setara ijazah (sekitar 2,200 dan ke atas).

Angka 25% itupun ketika mana ekonomi berkembang dengan baik beberapa tahun lepas. Di dalam keadaan ekonomi menyusut akibat wabak Covid 19, agak sukar angka 25% ini dapat dipertahankan. Pasti akan lebih rendah dari itu.

Maka tidak keterlaluan jika diandaikan pada akhir tahun 2020, jumlah pengangguran di negara ini akan mencecah satu juta orang.

Setakat ini tiada strategi jangka sederhana dan jangkitan panjang yang dilakukan oleh kerajaan. Strategi jangka pendek memang ada dengan memberikan berbagai bantuan, insentif dan geran. Tetapi sampai bila kerajaan mampu menampung kekurangan ini dengan strategi jangka pendek?

Tidak ada cara lain, graduan wajib melakukan anjakan minda dan harus bermula sebagai seorang usahawan. Samada kecil atau besar perniagaan itu bukan soalnya. Samada buka kedai atau berniaga online bukan juga isunya.

Samada mula berniaga seorang diri, bersama ahli keluarga atau bersama rakan-rakan sekampus juga bukan satu isu. Isunya setiap mahasiswa sebelum bergelar graduan wajib mempunyai perniagaan mereka sendiri. Wajib.

Bagaimana dengan modal? Pengalaman? Khidmat nasihat? latihan?

Inilah peranan pusat keusahawanan universiti yang telah wujud sekian lama di semua universiti. Begitu juga dengan khidmat kaunseling kerjaya harus sekarang juga mempunyai khidmat kaunseling keusahawanan. Program pelajar di universiti juga selepas ini harus memberikan impak keusahawanan pada para pelajar.

Semua pelajar harus didedahkan dengan pelbagai idea perniagaan, modal pinjaman, sistem mentoring, latihan kepimpinan perniagaan dan pengalaman jaringan perniagaan.

Kurangkan dulu anjurkan program program yang kurang memberi impak keusahawanan pada pelajar. Fokus kepada program meningkatkan kemahiran keusahawanan dan pengalaman perniagaan untuk para pelajar.

Ini zaman kelaziman baru, maka program pelajar juga harus bersifat baru dan memenuhi keperluan kelaziman baru. Ini zaman keusahawanan dan perniagaan.

kredit : Anuar Ahmad

Leave a Reply

Open chat