Kenapa Tok Guru Nik Aziz

Kenapa Tok Guru Nik Aziz

Kenapa mengkagumi Tok Guru Nik Aziz :

Tiga tahun lalu, saya sering diacah dengan soalan yang sama : kenapa saya mengkagumi Atgna ?

Letih menjawabnya, saya memuatkan sebuah artikel dalam Malaysiakini sebagai respons. Ia berbunyi :

“Saya mengkagumi Tok Guru atas dua alasan.

Pertama, beliau warak, ikhlas, berilmu dan beramal di atas ilmu. Ini lebih-lebih lagi apabila beliau amat berhikmah memilih ‘timing’ serta bentuk dan isi kandungan tentang apa yang nak diperkatakan.

“Substance” pun beliau ambil kira, manakala “form” pun beliau turut cerewet mempertimbangkan. Segala sesuatu itu sering disukat secukupnya. Sepuluh kali diukur, baru sekali dikerat !

Kedua, beliau bukan sekadar tokoh agama per se tetapi seorang yang ” versatile, volatile” dan mempunyai stail tersendiri mengurus persoalan politik, manusia dan kemanusiaan. Semuanya dipadankan dengan waqi’ dan persekitaran. Ia “bil hal”.

Dengan kata lain, beliau amat lihai dan “crafty” dari segala sudut, seawal memilih strategi dan uslub dakwah dengan menilik suasana mantik letak duduknya sesebuah isu itu – di mana?

Beliau tahu bila perlu diam, tahu bila patut bersuara dan bila pula waktu untuk bangun bertindak.

“Ada juga orang asyik-asyik nak bercakap semata-mata untuk dilihat bijak dan banyak tahu. Ini tidak semestinya begitu,” pernah demikian tegasnya kepada saya di suatu hujung sore sewaktu kami sama-sama turun tangga melenggang santai mencari pintu pulang.

Tok guru selalu sebut, diam pun bijak kalau dah kena pada tempat. Setiap yang dijadikan keputusan tidak pernah lari dari sandaran al-Quran dan hadis.

Ada masanya beliau sengaja menampakkan dirinya mengalah untuk rupa-rupanya bangkit berdiri sambil mengorak langkah panjang yang sifatnya di luar jangka.

Ini mampu meninggalkan seteru terpinga-pinga pada lazimnya. Dalam keadaan salah sangka untuk membaca rentak Tok Guru inilah, ada yang berniat serong mudah tersengguk!

Cuma, saya tidaklah pula menjadi pelajar tadika yang cuma tahu menumpang dan asyik mengunyah. Saya juga memberi jika diminta pandangan untuk memperkaya dan menghasilkan. Di atas alasan-alasan inilah saya mengagumi beliau.

Idea beliau sentiasa segar dan mudah mengalir; ada unsur dinamik dan bergerak-gerak. Yang lebih menarik ialah setiap rentak pergerakan disandarkan di atas tali-tali ilmu Allah, sesuai dengan sifat Islam itu sendiri yang sentiasa sesuai dengan semua zaman. Lihatlah produk-produk yang sempat dihasilkan.

Segalanya amat kaya dengan falsafah yang digali dari khazanah Islam. Contoh-contoh seperti ar-Rahn, cuti dua hari seminggu, pemindahan akaun kerajaan ke Bank Islam, skim kifalah dan armalah adalah antara contoh yang dikagumi oleh lawan dan teman.

Bersama satu dua exco kegemarannya beliau kelihatan bersahaja dalam banyak ketika tetapi yakin dan tetap bergaya pada kebanyakan masa.

Inilah Nik Aziz yang saya kagum dan yang saya maksudkan.”

Demikian saya menulis tiga tahun lalu.

Hari ini, saya ingin menyambung lagi sedikit.
Beliau tidak segan memanggil sidang akhbar. Seminggu sekali , itu mesti jika pun tidak dwi-mingguan.

Ini justeru beliau amat yakin yang dengan teguh berpegang kepada Islam, beliau tidak perlu bimbang untuk disoal oleh wartawan. Bila saya bertanyakan dari mana dapat kekuatan dan keyakinan ini, beliau menjawab, dengan menyandarkan hujah kepada sepotong ayat Quran yang membawa erti:

” Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

“Produce your proof if you are truthtul ! “

Lalu saya terasa teramat peliklah apakala melihat pemimpin dari pelbagai belahan, cukup mengelak dari memanggil sidang akhbar. Ada yang makan tahun dan ada pula yang dah berbulan tidak mengadakan PC. Mereka lebih selesa membuat perutusan dari memanggil sidang akhbar.

Tak yakin menghadapi Q & A lantaran tak berhujah atau tak menguasai “subject matter” lalu tak memanggil sidang akhbar ; tak tahulah.

Haih ! Aduhai nasib pembesar .

kredit : Anbakri Haron

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Open chat