Pep Guardiola : Tiki-Taka Dan Swarm Intelligence

Game semalam antara Manchester United dan Manchester City dimenangi oleh City, antara yang dilabelkan sebagai derby paling mahal di dunia. Dalam sejarah juga derby manchester ni mendapat liputan khas dari media Sepanyol selepas el-classico. Ini semua disebabkan oleh pertembungan dua manager paling berpengaruh di dunia, Pep Guardiola dan Jose Mounrinho. Ternyata , walaupun City dibarisi pemain yang kurang mantap berbanding dengan barisan Manchester United yang dibarisi Zlatan, Pogba dan Rooney, City berjaya menahan asakan dan menguasi bola 60% , dan Mounrinho gagal menggodam algoritma Pep, walaupun ternyata algoritma Pep tetap sama dari dulu dan kini, iaitu TIKI-TAKA. Hari ni mari kita lihat dunia bolasepak Pep melalui perspektif Computation Science , bidang yang melibatkan pengkajian khusus tentang algoritma dan matematik.

manager paling hebat dalam dunia

SWARM INTELLINGENCE

Pernah tak korang melihat sekumpulan burung terbang bersama ? Ataupun sekumpulan semut yang membentuk laluan paling shortcut ke bekalan makanan? tak pun sekumpulan lebah, sekumpulan ikan lumba-lumba ? Itu semua adalah kuasa alam semulajadi yang hebat. Kajian menunjukkan sekumpulan burung bergerak dalam bentuk V boleh menjimatkan penggunaan tenaga sesama mereka. Istilah Swarm Intelligence digunakan pada tahun 1989 oleh Gerardo Berni dan Jin Wang. Istilah ini digunakan merujuk kepada sistem robotik selular, di mana banyak robot bekerjasama menyiapkan satu kerja yang diarahkan. Kalau nak contoh yang lebih mudah, cuba korang tengok cerita Big Hero 6, di situ korang tengok mikrobot yang bergabung itu adalah salah satu contoh kepada konsep Swarm Intelligence.
Semuanya terus berkembang dengan munculnya algoritma baru. Contohnya pada tahun 1992, melalui thesis phd, Marco Dorigo telah mengkaji sekumpulan semut, dan dari situ dia mencipta algoritma Ant Colony System, dan seterusnya dibangunkan menjadi Ant Colony Optimization (ACO). ACO berkeupayaan menyelesaikan masalah routing, scheduling atau masalah mencari laluan terdekat yang paling optimum. Dengan mengadaptasi kuasa pheromone yang ditinggalkan semut, Marco Dorigo berjaya memformulasikan konsep pheromone dalam algoritma beliau.

kuasa nature kumpulan haiwan

Satu lagi konsep menarik yang muncul pada tahun 1995 ialah Particle Swarm Optimization (PSO). Semuanya adalah hasil gabungan pemikiran James Keneddy, seorang pakar psikologi sosial, dan juga Profesor Rusell C. Eberhart. PSO mudah diterangkan seperti sekumpulan lebah yang mencari makanan, di mana lebah yang yang berjaya menghidu madu yang terbaik, akan berkongsi maklumat kepada lebah yang lain, dan pada akhirnya sekumpulan lebah berjaya mencari jalan yang optimum untuk sampai ke sumber madu yang terbaik. Kalau nak disenaraikan, banyak lagi algoritma algoritma baru yang berjaya direka oleh pengkaji-pengkaji,contoh terbaru yang saya dengar ialah Shuffle Frog Leap Algorithm (SFLA), berdasarkan sekumpulan katak yang melompat-lompat.

HUMAN SWARM – COLLECTIVE INTELLIGENCE

Walaupun banyak sekali aplikasi Swarm Intelligence dalam dunia moden, tapi bukan senang untuk kita menggunakan algoritma ini kepada manusia. Tapi satu artikel menarik oleh Louis B. Rosenberg pada tahun 2015, seorang penyelidik dari San Francisco California telah mencipta UNUM platform, yang menggabungkan konsep Collective Intelligence dan Swarm Intelligence. Konsep di mana sistem real-time dibangunkan di mana sekumpulan manusia, atau “human swarm” berinteraksi, untuk mencari penyelesaian yang lebih jitu, berbanding dengan prestasi individu. Ini adalah satu indikator terbaik , di mana konsep bekerjasama ini boleh digunakan diaplikasikan kepada manusia.

algoritma semut

TIKI-TAKA PEP GUARDIOLA

Sebagai seorang pemain perancang, seorang defensive midfielder, Pep tentu sekali mahukan satu taktikal dimana pemain boleh bekerja sama untuk membawa bola terus ke dalam kawasan gol. Pep sungguh bertuah, kerana mendapat didikan terus dari mendiang Johan Cruff, bapa bola sepak moden. Cruff berjaya membawa Barcelona menjuari kejohanan eropah pertama mereka pada tahun 1992, dan menjuari liga lima tahun berturut-turut. Tentu sekali Pep mencedok dan mengubah falsafah Total Football kepada satu bentuk taktikal yang kita kenali sekarang iaitu TIKI-TAKA.
Konsep mudah TIKI-TAKA ialah satu falsafah di mana Pep mementingkan penguasaan bola yang mantap, di mana bertukar-tukar hantaran adalah senjata utama yang boleh membawa kepada satu gerakan yang boleh menghasilkan gol. Konsep ini boleh dilihat seperti PSO tadi, di mana, maklumat akan ditukar sesama mereka. Dalam PSO, particle yang berada pada kedudukan terbaik digelar sebagai Global Best. Dalam tiki-taka pula, global best bolehlah diibaratkan seperti ruang paling selesa seorang pemain yang tidak dikawal. Dalam tiki-taka juga, global best juga adalah seorang pemain yang paling berpengaruh atau paling kreatif untuk menggerakan bola tersebut, iaitu play- maker utama.

algoritma lebah

Sistem algoritma Pep ini seperti menyelesaikan masalah Optimization. Setiap pasukan lawan boleh ibaratkan seperti sebuah fungsi matematik yang complex. Pasuksan yang mudah dikalahkan digambarkan seperti fungsi matematik yang sangat mudah diselesaikan. Pasukan yang kuat, yang bermain secara bertahan pula adalah seperti suatu fungsi yang sangat kompleks, yang mempunyai banyak local minima. Di sini algoritma Pep tidak berjaya membawa bola kepada global minima yang boleh mendatangkan gol dengan mudah.
Algoritma Pep akan berfungsi dengan baik, jika pemilihan “swarm” itu sesuai dengan taktikal yang dijalankan oleh Pep. Sebab itu ramai pemain bintang seperti Ronaldinho dan Deco di Barcelona ditendang keluar oleh Pep, kerana tidak sesuai dimasukan dalam algoritma beliau. Kebanyakkan jurulatih atau pengurus mencari pemain yang kuat, tapi ianya tidak berlaku kepada Pep. Contoh terbaru di Manchester City, Joe Hart kehilangan tempat selaku penjaga gol utama, kerana tidak faham dan tidak berupaya untuk menjalankan algoritma tiki-taka yang diinginkan oleh Pep.

formula pasukan lawan

ALGORITMA PG 1.0 – BARCELONA

Algoritma pertama Pep di Barcelona adalah yang paling berjaya dalam sejarah bola sepak dunia, dengan 14 kejuaraan, 2 trofi Uefa Champions League dan 6 trofi semusim cukup membuktikan kehebatan Pep Guardiola mengendalikan Barcelona. Semuanya menjadi kerana keupaayan swarm terbaik , Xavi dan Inneista yang bijak bertukar-tukar hantaran. Pep yang bermula dengan Barcelona B, berjaya membentuk sistem tika-taka beliau semasa di liga bawahan, dan seterusnya membawa pemain Barcelona B untuk menjalankan algoritma tiki-taka di liga utama dan peringkat  eropah.
Kesan dari PG 1.0 ini dirasai oleh pasukan Sepanyol, yang berjaya merangkul 3 trofi dalam 6 tahun, 2 kejohanan eropah dan 1 piala dunia. Pada tahun 2012, Vincente Del Bosque tentu sekali terhutang budi dengan algoritma PG 1.0, di mana pasukan beliau mampu membelasah Italy 4-0 semasa perlawanan akhir Euro 2012.
Walaubagaimanapun, Jose Mourinho melalui beberapa cubaan dengan pasukaan Inter Milan, dan Real Madrid, berjaya menggodam sistem algoritma Pep. Teknik parking bus dengan formasi 3-6-1 berjaya mengalahkan Barcelona di Nou Camp pada tahun 2012. Selepas itu , teknik yang sama di tiru dengan baik oleh Roberto Di Mateo. Formasi 3-7-0 Chelsea berjaya menyingkirkan Barcelona di peringkat separuh akhir Champions league, 3 hari selepas Jose Mourintho menundukkan Barcelona. Sejak itu Pep mengundurkan diri dari Barcelona dan bercuti sabatikal selama setahun di Amerika .

tiki-taka

ALGORITMA PG 2.0 – BAYERN MUNICH

Pep mengumumkan dia akan kembali menjadi jurulatih, dan Bayern Munich berjaya mengikat kontrak 3 tahun. Pep berjaya mengubah falsafah pasukan Bayern kepada permainan possesion football yang sangat mantap. Tapi semuanya bukan senang, kerana pemain bintang dalam Bayern perlu membiasakan diri dengan algoritma Pep. Dalam tempoh 3 tahun itu, Pep berjaya menggondol 3 kejuaraan liga, dengan sangat cemerlang.
Walaubagaimanapun Algoritma PG 2.0 mempunyai banyak kelemahan, kerana ianya hampir sama dengan PG 1.0 ketika di Barcelona. Banyak pasukan yang dah bersedia, mengambil pendekatan khas untuk menggodam sistem komputer Pep. Paling memalukan di mana kepulangan ke Barcelona di sambut dengan kekalahan agregat 7-0. Team Barcelona ketika itu adalah pemain yang mengamalkan algoritma PG 1.0 ciptaan beliau sendiri.
Walaupun Pep gagal menjuari trofi terulung kejohanan kelab eropah, tapi insan yang bernama Joachim Low sangat berterima kasih kepada Pep, kerana telah mengubah corak permainan dan menambah baik kualiti pemain skuad Jerman. Tempias dari PG 2.0, Jerman berjaya memenangi Piala Dunia 2014, memecahkan badi pasukan eropah yang tidak pernah menang piala dunia di benua Amerika Latin.

ALGORTIMA PG 3.0 – MANCHESTER CITY

Nampaknya Pep berani lagi menyahut cabaran pasukan kaya untuk berkhidmat selama 3 tahun juga. Kali ini cabarannya sangat berbeza, kerana bukan semua pemain City boleh menjalankan algoritma Pep. Cabaran baru dengan City boleh mengubah landskap permainan bola sepak inggeris. Pertemuan semalam menunjukkan bagaimana Manchester United sangat sukar untuk mendapatkan bola dari kaki pemain City dalam 40 minit yang pertama. Pep menghadapi ujian yang getir, kerana kualiti pemain City tidak sama, malah boleh dikatakan lebih rendah dari pemain Barcelona dan Bayern Munich. Pep lulus ujian pertama dengan mengalahkan jiran mereka. Tapi selepas ini Pep perlu berjumpa lagi dengan pengurus-pengurus yang hebat seperti Arsene Wenger, Antonio Conte dan juga Jurgen Klopp.

KESIMPULAN 

Kita boleh lihat di sini, taktikal bola sepak sekarang adalah seperti suatu sistem algoritma yang boleh menyelesaikan masalah kompleks. Bola sepak moden sekarang bukan sekadar mencari pemain yang hebat secara individu, tetapi ianya lebih dari itu. Bola sepak moden adalah bermain dalam satu sistem, satu falsafah yang diterapkan oleh pengurusan pasukan tersebut. Kemantapan tiki-taka, dan konsep Swarm Intelligence, dan Collective Intelligence ini boleh diambil kira oleh mana-mana pasukan, jika mereka ingin berjaya dan kekal berjaya. Pep Guardiola telah menunjukkan, sistem lebih penting dari permainan individu. Pemain perlu memahami sistem dan falsfah jurulatih, atau mereka akan ditunjukkan jalan keluar ke pasukan lain.

3 comments on “Pep Guardiola : Tiki-Taka Dan Swarm IntelligenceAdd yours →

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge